Petua Penulisan
Karangan Bahasa Melayu UPSR (SJK)
Jenis-jenis Karangan Berformat:
Surat Kiriman Rasmi
Surat Kiriman Tidak Rasmi
Ucapan
Syarahan
Dialog / Temuramah / Perbualan / Wawancara
Catatan Diari
Laporan
Perbahasan
Jenis-jenis Karangan Tidak Berformat:
Karangan Jenis Pengalaman / Cerita / Gambaran / Situasi
Karangan Jenis Fakta / Penerangan
Karangan Jenis Perbincangan
Karangan Jenis Melengkapkan Cerita
Karangan Jenis Autobiografi / Biografi
Karangan Jenis Peribahasa
PANDUAN MENGARANG / MENULIS
Sebelum menulis sesuatu karangan, kita hendaklah memilih dan memahami tajuk
atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita berfikir tentang :
A. Pendahuluan
B. Isi-isi
C. Penutup
A. Pendahuluan
Setiap karangan mestilah mempunyai pendahuluan. Dalam pendahuluan,
kita hendaklah memperkenalkan sesuatu
perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah
menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu.
Pendahuluan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai dua atau tiga ayat. Pendahuluan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan
yang positif dan mendalam kepada pemeriksa. Oleh itu, pastikanlah tiada kesalahan tatabahasa, ejaan atau tanda bacaan dalam pendahuluan karangan .
B. Isi-isi
Cara terbaik mencari isi adalah dengan menggunakan kaedah membuat peta minda.
Kemukakan pertanyaan kepada diri anda dan fikirkan jawapannya sama ada menerusi
logik akal atau berdasarkan bahan rujukan seperti buku, majalah, surat khabar,
ensiklopedia atau kamus bagi fakta. Antara lima pertanyaan paling utama dan
popular ialah:
1. Apa?
2. Siapa?
3. Bila?
4. Mengapa?
5. Di mana?
6. Bagaimana?
Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan
perlu mempunyai tiga isi. Isi yang
lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah
disusun dengan teratur dan berkait antara satu dengan lain.
Isi-isi itu dipecahkan kepada tiga perenggan. Isi yang utama didahulukan.
Sebaik-baiknya satu isi satu perenggan kecuali jika isi pendek dan
berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin
sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana
sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang
daripada perenggan yang lain.
Pastukan isinya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan
menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak
ditiru bulat-bulat daripada karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak,
kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah,
rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan
dari pengalaman sendiri.
Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan
yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.
C. Penutup
Kalau pendahuluan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti
karangan tersebut, maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada
pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu
karangan.
Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu
perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau
tergantung. Oleh it,u penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.