Wednesday, December 5, 2012

Kata Penguat

Kata penguat ialah perkataan yang digunakan untuk menguatkan maksud  kata adjektif.  Kata penguat boleh hadir sebelum atau selepas kata adjektif.
Contoh:
 i.     Kata penguat seperti agak, paling, dan terlalu diletakkan sebelum kata   
        adjektif.
ii.     Kata penguat seperti sekali, benar, dan nian diletakkan selepas kata adjektif.
iii.    Kata penguat seperti sangat, amat, dan sungguh boleh diletakkan sama
       ada sebelum atau selepas kata adjektif.
Contoh:
1.     Murid yang paling pintar di kelas kami ialah Nelly Tan.
2.     Pemandangan di Pulau Tioman  sungguh indah.
3.     Suhu di kutub selatan dan kutub utara  amat sejuk.
4.     Kereta api itu sangat laju.
5.     Kereta itu laju sangat.

Tuesday, December 4, 2012

Kata Penegas

Kata penegas ialah kata yang digunakan untuk memberikan penekanan atau menegaskan bahagian-bahagian yang tertentu di dalam ayat.
Contoh
-kah
-lah
-tah
jua
juga
sahaja
hanya
memang
lagi
pun


Contoh
1.     Itulah kereta baharu saya.
2.     Pernahkah awak makan daging tupai?
3.     Apatah dayaku untuk menolongnya.
4.     Arnab itu dibawa juga ke rumah datuknya.
5.     Hanya Kumar yang tidak hadir dalam latihan sukan semalam.
6.     Dia seorang sahaja yang berbaju biru.

Tuesday, November 27, 2012

Petua Penulisan Karangan


Petua Penulisan Karangan Bahasa Melayu UPSR (SJK)
Jenis-jenis Karangan Berformat
Surat Kiriman Rasmi
Surat Kiriman Tidak Rasmi
Ucapan
Syarahan
Dialog / Temuramah / Perbualan / Wawancara
Catatan Diari
Laporan
Perbahasan

Jenis-jenis Karangan Tidak Berformat:
Karangan Jenis Pengalaman / Cerita / Gambaran / Situasi
Karangan Jenis Fakta / Penerangan
Karangan Jenis Perbincangan
Karangan Jenis Melengkapkan Cerita
Karangan Jenis Autobiografi / Biografi
Karangan Jenis Peribahasa

PANDUAN MENGARANG / MENULIS
Sebelum menulis sesuatu karangan, kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita berfikir tentang : 
A. Pendahuluan
B. Isi-isi
C. Penutup

A. Pendahuluan
Setiap karangan mestilah mempunyai pendahuluan. Dalam pendahuluan,  kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu.

Pendahuluan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai dua atau tiga ayat. Pendahuluan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam kepada pemeriksa. Oleh itu, pastikanlah tiada kesalahan tatabahasa, ejaan atau tanda bacaan dalam pendahuluan karangan .


B. Isi-isi 
Cara terbaik mencari isi adalah dengan menggunakan kaedah membuat peta minda. Kemukakan pertanyaan kepada diri anda dan fikirkan jawapannya sama ada menerusi logik akal atau berdasarkan bahan rujukan seperti buku, majalah, surat khabar, ensiklopedia atau kamus bagi fakta. Antara lima pertanyaan paling utama dan popular ialah:
1. Apa?
2. Siapa?
3. Bila?
4. Mengapa?
5. Di mana?
6. Bagaimana?
Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai tiga isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait  antara satu dengan lain.

Isi-isi itu dipecahkan kepada tiga perenggan. Isi yang utama didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi satu perenggan kecuali jika isi pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain.

Pastukan isinya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat daripada karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri.

Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.

C. Penutup
Kalau pendahuluan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut, maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan.

Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh it,u penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.


Kata majmuk